spot_img
HomeEkonomiKerajaan Pusat komited hapus jurang pembangunan Semenanjung dan Sabah

Kerajaan Pusat komited hapus jurang pembangunan Semenanjung dan Sabah

KOTA KINABALU : Kerajaan pusat komited untuk menghapuskan jurang pembangunan di antara Semenanjung dengan Sabah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa melancarkan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), berkata, pelbagai usaha dilaksanakan untuk mencapai usaha itu sejajar dengan harapan untuk menyaksikan Sabah dan Sarawak turut menikmati pembangunan yang pesat.

“Ia termasuk projek Lebuhraya Pan Borneo yang dijangka selesai dalam tempoh lima tahun lagi dan menyelesaikan isu sekolah daif di Sabah dengan peruntukan RM1.02 bilion,” tambahnya.

“Sememangnya menjadi harapan Kerajaan Persekutuan untuk menyaksikan Sabah dan Sarawak turut bersama-sama menikmati pembangunan yang pesat seperti mana juga negeri lain,” tambahnya lagi.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan sedang berusaha menghapuskan jurang pembangunan antara Semenanjung dengan Sabah dan kewujudan rangkaian Lebuhraya Pan Borneo tanpa tol antara usaha yang mampu mengubah seluruh kawasan di Sabah dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Perdana Menteri berkata dalam bidang pendidikan tumpuan diberikan terhadap usaha membaiki dan membina semula sekolah daif di kawasan pedalaman Sabah.

Beliau difahamkan Kementerian Pendidikan mengamanahkan 113 sekolah daif di Sabah kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan JKR Sabah sebagai agensi pelaksana untuk menaik taraf sekolah itu dengan kos RM1.02 bilion.

Selain itu, Ismail Sabri berkata Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri sedang menyelaras dan memudah cara Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) di Sabah yang melibatkan sebanyak 10 lokaliti iaitu di Tongod, Pitas, Kota Belud, Kota Marudu, Beluran, Nabawan, Tuaran, Sipitang, Beaufort dan Ranau.

Menurut Ismail Sabri, ketika ini juga kerajaan sedang mengadakan sesi libat urus yang menyeluruh dengan kerjasama kerajaan negeri dan pejabat daerah bagi mendapatkan input semua pihak, termasuk di peringkat akar umbi bagi mencapai sasaran sifar kemiskinan tegar pada 2025. – BH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular