KINABATANGAN: Seorang lelaki maut selepas dibaham buaya di Ladang Lamag, Sungai Pin, semalam.
Dalam kejadian 2 petang itu, mangsa dikatakan diserang ketika cuba menyeberangi sungai menggunakan jambatan kayu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihak mereka menerima panggilan kecemasan sekitar jam 2.24 petang sebelum menghantar seramai lima anggota pegawai bersama jentera bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba terus melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama beberapa agensi lain.
“Mangsa akhirnya berjaya ditemui namun hanya separuh badan saja.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan lokasi kejadian selamat sepenuhnya sebelum operasi ditamatkan pada jam 5.10 petang. – Hmetro