KOTA KINABALU : Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, mengalu-alukan sebarang jalinan kerjasama demi kebaikan negeri Sabah.
Beliau berkata Barisan Nasional (BN) Sabah optimis dengan pembentukan jawatankuasa kerjasama solidariti bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi mengelakkan pertembungan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Secara prinsipnya, kita mengalu-alukan (pembentukan jawatankuasa kerjasama solidariti bersama GRS). Kita BN sentiasa positif,” tambahnya.
Menurut Bung, kita memikirkan kepentingan rakyat negeri Sabah dan juga pembangunan itu yang penting. Sabah sudah lama ketinggalan dari segi pembangunan, ekonomi, peluang pekerjaan dan sebagainya.
“Jadi saya rasa sudah tiba masanya untuk kita memperkukuhkan kerajaan untuk memastikan rakyat Sabah juga berhak hidup dalam keadaan yang baik hari ini,” tambahnya.
Berhubung beberapa parti yang menyatakan secara terbuka untuk merebut kerusi tradisi BN, Bung Moktar sebaliknya menyifatkan ia adalah perkara biasa.
“Memang adat berparti, semua parti ini yang mahu bertanding cuma kita akan tengok keadaannya. Sampai masanya kita akan putuskan,” tambahnya. -BH


