KUDAT : Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk Seri Jeffrey G. Kitingan dan isteri serta rombongan telah ke Pitas untuk Majlis Penyerahan Dua Buah Perahu sumbangannya sendiri.
Ketua Cawangan Baharu Pandan Mandamai, Bakri berkata Jeffrey mencipta sejarah kerana satu-satunya wakil rakyat yang menjejakkan kaki ke kampung itu sejak kampung tersebut wujud.
Menurut Bakri, kehadiran tidak terlalu ramai disebabkan kekangan pengangkutan dan perhubungan yang terhad, dan sikap rakyat mengelak jangkitan Covid-19.
Jeffrey bersimpati terhadap keluhan penduduk tentang kedaifan prasarana kampung akibat diabaikan.
Jeffrey juga meluangkan masa mendengar keluhan rakyat dan memberi bantuan serta-merta kepada yang memerlukan.
Bakri berkata dalam ucapannya perhubungan, pengangkutan air dan darat adalah masalah utama untuk aktiviti harian seperti pergerakan penduduk, pertanian dan persekolahan anak-anak.
“Mereka tidak pernah menikmati air bersih kerana air yang keruh menjadi air mandi dan makan sehingga ke hari ini,” tambahnya.
Kesempatan itu, Jeffrey berkata akan berusaha membina jambatan gantung untuk kemudahan kanak-kanak ke sekolah dan tangki air untuk setiap rumah di kampung tersebut.
Beliau juga akan bekerjasama dengan para pemimpin kawasan untuk mengikthiarkan penambahbaikan sistem perhubungan jalanraya.