Sejarah UMNO-BN di Sabah adalah proses panjang yang telah mengakar dalam perjalanan politik dan pembangunan negeri Sabah. Bukan paksaan atau tipu helah, tetapi lahir daripada keinginan tulus bapa-bapa, para pemimpin pendahulu kita sendiri.
Tun Datu Mustapha Datu Harun — Bapa Kemerdekaan Sabah — pernah meminta agar UMNO dibawa ke Sabah. Bukan sekali, bukan dua kali, tetapi berkali-kali beliau memohon kepada kepimpinan UMNO pusat. Ini bukan auta politik, ini fakta sejarah.
Ini juga bukan pula pengkhianatan, ini harapan seorang tokoh yang berjasa untuk melihat masa depan Sabah yang cerah dengan rangkaian yang kuat iaitu sokongan Persekutuan demi kestabilan dan kemajuan rakyatnya.
Setelah berdekad Sabah berpecah-belah akibat permainan politik tempatan yang sempit dan penuh episod pergolakan, akhirnya UMNO menjadi payung penyatuan. Di bawah panji Barisan Nasional, pemimpin-pemimpin Sabah menolak ego masing-masing dan bersatu demi sebuah cita-cita besar — kemajuan dan kestabilan untuk negeri ini.
UMNO bukan datang untuk merampas hak anak negeri. UMNO dibawa untuk menyatukan kuasa politik Sabah agar tidak lagi dipermainkan oleh ketamakan segelintir elit tempatan.
Siapa yang menyerahkan Labuan? Parti tempatan Sabah.
Siapa yang serahkan ribuan hektar tanah anak negeri Sabah kepada pihak luar Sabah? Parti tempatan Sabah.
Siapa yang menjarah hasil bumi, balak dan kekayaan negeri? Parti tempatan Sabah.
Siapa yang menindas anak negeri sendiri, khususnya bumiputera Islam suatu ketika dahulu melalui dasar-dasar yang memecah-belah? Yang pasti, Bukan UMNO Sabah.
UMNO datang membawa pembangunan. Di Semenanjung, tidak ada Lebuhraya tanpa tol — tetapi di Sabah dan Sarawak, lebuhraya itu Pan Borneo dibina TANPA TOL. Siapa yang usahakan jika bukan UMNO.
Hampir semua kemajuan yang dibawa UMNO di Semenanjung turut disalurkan ke Sabah dan Sarawak. Tetapi tidak semua keistimewaan yang Sabah dan Sarawak peroleh di bawah UMNO turut dinikmati oleh negeri-negeri di Malaya.
Itu bukti betapa UMNO memandang Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi sebenar — bukan sebagai pelengkap kuota politik, tetapi sebagai komponen utama yang mesti dimartabatkan.
UMNO juga mewartakan Hari Malaysia — bukan sekadar cuti umum, tetapi sebagai pengiktirafan sejarah bahawa Sabah dan Sarawak adalah rakan sekutu yang sama taraf. UMNO jugalah yang mengembalikan status equal partner kepada Sabah dan Sarawak, sementara kerajaan lain gagal dan hanya mampu menjadikannya sebagai retorik pilihanraya.
UMNO tidak pernah anggap Sabah sebagai deposit kuasa. Sabah dan Sarawak adalah tunjang kekuatan Persekutuan — rakan yang mesti dibela, dimajukan, dan diangkat maruahnya. UMNO Sabah tidak menjanjikan bulan dan bintang, tetapi UMNO sediakan jalan, jambatan, bekalan elektrik, air bersih, dan kemajuan ekonomi — langkah demi langkah, bukan retorik semata. Namun sumbangan ini dinafikan oleh kata-kata fitnah.
UMNO bukan dilahirkan di atas jalan raya, bukan hasil kekecewaan politik, bukan dari dendam dan kepentingan politik survival peribadi. UMNO lahir dari nadi rakyat, dari semangat perpaduan Bumiputera, dari cita-cita besar bapa-bapa pendahulu kita untuk menyatukan negara dalam satu haluan pembangunan.
UMNO tidak datang untuk menjajah Sabah. UMNO datang untuk memulihkan,
UMNO tidak datang untuk mengambil hak Sabah. UMNO datang untuk memberi kemajuan dan pembangunan buat Sabah,
UMNO tidak datang untuk memecah-belah. UMNO datang untuk menyatu bangsa Sabah.
UMNO-BN di Sabah bukan sebagai orang luar tetapi SEBAGAI JAMBATAN RAKYAT SABAH DI PUTRAJAYA. Dan kini, dalam era global yang semakin mencabar, Sabah tidak boleh lagi berpatah balik ke jalan penuh perpecahan dan pergolakan. Sabah mesti melangkah ke hadapan — sebagai negeri yang progresif, stabil dan membangun.
Kerana akhirnya, yang kita perlukan bukan sekadar Sabah For Sabahan, tetapi SABAH MAJU FOR SABAHAN.
Penulis: Penganalisis Politik DEMI SABAH