KOTA KINABALU – Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun mengambil maklum di atas bantahan penduduk di Pangsapuri Mutiara Kasih dan Taman Khazanah Indah di Lahad Datu, yang rata-rata tidak berpuas hati Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan ini, dilanjutkan lagi bermula hari ini sehingga 23 November 2020.
Pihaknya mengambil maklum dan memahami keadaan penduduk yang sudah lama terkurung akibat PKPD yang dilaksanakan di dua lokaliti itu.
Menurutnya lagi, kerajaan akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) untuk menilai semula pelaksanaan PKPD di kawasan berkenaan.
“Saya memahami perasaan mereka yang terkurung lama, saya juga mengambil kira perakuan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Saya akan meminta MKN Sabah dan JKNS untuk menilai semula keadaan di situ dan dilaporkan dalam mesyuarat MKN yang seterusnya,” katanya dalam sidang media di Wisma Innoprise semalam.

Mizma Appehdullah yang juga Ketua Srikandi Bersatu Lahad Datu berkata pihak kerajaan telah mengambil maklum perkara ini dan diharapkan penduduk yang terlibat kekal bertenang kekal bertenang.
Tambah beliau lagi, pihak JK Bencana Daerah akan berunding dengan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai isu ini dan mencadangkan agar PKPD di dua lokaliti ini ditamatkan sesuai tempoh 14 hari yang tamat pada hari ini.
“Mungkin ada beberapa perkara yang menjadi kerisauan pihak MKN terutama selepas melakukan penilaian risiko dari pasukan mereka. Namun begitu, saya yakin pihak JK Bencana Daerah memiliki keupayaan tambahan bagi menerangkan situasi sebenar kepada pihak MKN.
“Saya amat berharap agar penduduk di dua lokaliti ini agar terus kekal tenang dan menyerahkan hal ini kepada pihak berwajib untuk dicari solusi terbaik. InsyaAllah, esok akan ada sinar harapan untuk penduduk Pangsapuri Mutiara Kasih dan Taman Khazanah Indah” katanya lagi.


