spot_img
HomeEkonomiRMK13 fokus tangani kos sara hidup dan perkukuh rantaian bekalan – Armizan

RMK13 fokus tangani kos sara hidup dan perkukuh rantaian bekalan – Armizan

KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) menjadi pemacu utama bagi memperkukuh kesejahteraan rakyat melalui pelan pembangunan menyeluruh yang menekankan aspek kemampanan ekonomi, kelestarian alam dan pengukuhan tatakelola negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, antara tiga teras utama RMK13 yang akan bermula dari 2026 hingga 2030 ialah ‘Menaikkan Lantai’ yang turut memberi tumpuan kepada usaha menangani kos sara hidup rakyat.

“Kos sara hidup bukan isu terpencil di Malaysia, malah turut menjadi cabaran utama di peringkat serantau dan global, khususnya dengan impak konflik geopolitik, perubahan iklim, serta isu jaminan bekalan makanan,” katanya menerusi kenyataan media.

Menurut Armizan, Kerajaan MADANI telah merangka dua strategi utama dalam menangani isu tersebut, bukan sahaja mengawal kos seperti kestabilan harga dan kadar inflasi, tetapi juga meningkatkan keupayaan sara hidup rakyat melalui bantuan dan penjanaan pendapatan.

Katanya, kestabilan harga dan kadar inflasi akan terus bergantung kepada keseimbangan penawaran dan permintaan di pasaran, justeru antara pendekatan penting yang akan digerakkan, memastikan wujudnya persaingan sihat dan membanteras manipulasi dalam pasaran terutama bagi barangan keperluan harian.

Ujarnya, dalam tempoh lima tahun pelaksanaan RMK13, kerajaan turut komited memperkukuh rantaian bekalan makanan melalui pelbagai inisiatif seperti penambahbaikan infrastruktur, pemerkasaan sektor peruncitan serta penguatkuasaan kawal selia yang lebih menyeluruh.

“Kita akan tingkatkan ketersediaan infrastruktur pemasaran melibatkan pusat pengumpulan, pemprosesan, pembungkusan, pengedaran serta logistik dan digital dengan kerjasama sektor swasta,” katanya.

Armizan turut mengumumkan bahawa satu Sistem Repositori Harga dan Bekalan akan dibangunkan bagi menjamin ketelusan harga dan memantau sebarang pencatutan serta manipulasi harga oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Jelasnya, sistem ini akan menjadi asas penting kepada penguatkuasaan yang lebih berkesan terhadap Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta Akta Persaingan 2010 dengan penglibatan pelbagai kementerian dan pemain industri bagi memastikan kawalan rantaian bekalan berjalan lancar.

“Dengan pendekatan menyeluruh ini, kerajaan yakin dapat menyediakan perlindungan lebih baik kepada pengguna sambil membuka peluang lebih luas kepada para peniaga kecil dan sederhana,” ujarnya.

Tambah beliau, RMK13 dijangka dibentangkan pada tahun hadapan sebagai pelan pembangunan sederhana lima tahun selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk menjadikan Malaysia lebih mampan, makmur dan sejahtera menjelang 2030. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular