KOTA KINABALU : Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor menyatakan bagi mengurangkan beban mereka yang terjejas dengan bencana banjir di negeri ini, setiap keluarga akan diberi Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000.
Hajiji berkata semasa menghadiri Mesyuarat Khas Task Force Pengurusan Pasca Bencana Banjir Monsun Timur Laut 2021/2022 yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia hari ini yang berlangsung secara maya.
Dalam mesyuarat berkenaan, Hajiji telah menerangkan kepada Perdan Menteri mengenai keadaan semasa banjir di Sabah dan semua gerak kerja yang telah dan akan dilaksanakan.
“Kerajaan Negeri juga menegaskan bahawa bantuan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan untuk mangsa banjir di negeri ini perlu disalurkan dengan kadar segera,” tambahnya.
Menurut Hajiji, setakat ini, Sabah telah menerima sebanyak RM200,000 dan RM674,000 lagi diperlukan sebagai bantuan kewangan untuk setiap keluarga yang terjejas.
“YAB Perdana Menteri telah memberi jaminan untuk menyalurkan bantuan itu dalam masa yang terdekat,” tambahnya.
Hajiji berkata, dalam pada masa yang sama, Kerajaan Negeri turut mengagihkan bakul makanan kepada mangsa-mangsa banjir.
“Ini bagi memastikan bekalan makanan tidak terputus,” tambahnya.