spot_img
HomePolitikPeter Anthony lantik peguam baharu

Peter Anthony lantik peguam baharu

KUALA LUMPUR : Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan kepada mahkamah bahawa Peter Anthony melantik peguam baharu dan memohon prosiding pada Isnin dilapangkan.

Wan Shahruddin memperkenalkan peguam baharu yang mewakili Peter iaitu S. Devanandan.

Devanandan menggantikan peguam Munawar Kabir Mohd Zainal Abidin yang sebelum ini mengendalikan kes itu bersama seorang lagi peguam, Datuk D. Senthinathan.

Namun demikian, prosiding hari pertama bela diri Datuk Peter Anthony atas dakwaan memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), dijadual bermula Isnin telah ditangguhkan berikutan beliau melantik peguam baharu untuk mewakilinya.

Hakim Azura Alwi membenarkan penangguhan itu dan pihak pendakwaan juga bersetuju supaya kehadiran tertuduh (pada Isnin) dikecualikan atas alasan pihak pembelaan memohon tarikh (bela diri) dilapangkan kerana tertuduh telah melantik peguam baharu untuk mewakilinya.

Selain itu, Wan Shaharuddin berkata, pernyataan saksi pembelaan perlu diserahkan kepada pendakwaan dalam masa seminggu sebelum saksi-saksi tersebut memberi keterangan.

“Pihak pendakwaan belum menerima pernyataan saksi pembelaan yang sepatutnya diserahkan pada Isnin,” tambahnya.

Manakala Devanandan pula memaklumkan kepada mahkamah pihaknya akan menyerahkan pernyataan saksi seperti dipohon oleh pendakwaan dan bercadang untuk memanggil empat saksi pembelaan termasuk Peter.

“Kami memberi aku janji untuk menyerahkan pernyataan saksi pembelaan dalam tempoh seminggu bermula hari ini kerana kami masih belum berjumpa anak guam bagi mendapatkan arahan selanjutnya,” tambah Devanandan.

Pada 14 Disember 2021, Peter, 50, yang juga bekas Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) diperintah membela diri atas pertuduhan memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di universiti itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Jika sabit kesalahan, dia akan didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda. – Bernama

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular