SANDAKAN: Sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025, Kampung Sim Sim sekali lagi menjadi tumpuan apabila menganjurkan Pertandingan Pondok Berhias yang kini memasuki edisi keenam sejak mula dilaksanakan pada tahun 2019.
Acara yang berlangsung di sepanjang kawasan dari Lorong H hingga ke Jambatan 1, Kampung Sim Sim itu memperlihatkan kreativiti luar biasa penduduk dalam menghias pondok masing-masing menggunakan bahan kitar semula, lampu hiasan dan bendera-bendera kebangsaan yang berwarna-warni.
Pengerusi Jetama Water Sdn Bhd, Liau Fui Fui berkata, pertandingan ini bukan sahaja memperindah persekitaran, malah berjaya memupuk nilai-nilai patriotisme dan perpaduan dalam kalangan komuniti.

“Pertandingan ini telah kami laksanakan sejak tahun 2019 lagi.
“Setiap tahun, kreativiti penduduk semakin berkembang dan mereka menghias pondok dengan bahan kitar semula serta pelbagai idea menarik,” katanya.
Beliau yang juga Setiausaha kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat berkata, semangat perpaduan dan cinta negara yang ditonjolkan amat membanggakan serta perlu dipupuk dalam kalangan generasi muda.

“Ini amat penting untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan anak-anak kita.
“Kita mahu mereka tahu bagaimana untuk menyayangi negara,” katanya.
Menurut Fui Fui, pihak penganjur merancang untuk meneruskan pertandingan ini sebagai acara tahunan bukan sahaja di Kampung Sim Sim, malah berharap ia boleh menjadi contoh teladan kepada kampung-kampung lain di Sandakan.
Sementara itu, ADUN Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung turut meluangkan masa meninjau pondok-pondok berhias dan menyampaikan penghargaan kepada semua penduduk yang terlibat.

“Kreativiti penduduk benar-benar mengagumkan!
“Setiap jambatan dan kawasan menonjolkan idea unik dengan hiasan berwarna-warni dan lampu-lampu cantik yang menyemarakkan semangat patriotik serta perpaduan komuniti,” katanya.
Namun begitu, beliau memaklumkan bahawa pengumuman keputusan pertandingan dan penyampaian hadiah yang dijadualkan pada 16 September terpaksa ditangguhkan susulan krisis bencana alam yang menjejaskan bekalan air dan elektrik di kawasan tersebut.
“Penangguhan ini adalah tanda solidariti bersama rakyat yang terkesan kerana kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” jelasnya.
Frankie turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua penduduk serta penghargaan kepada barisan juri daripada RTM, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), dan Monica Studio atas komitmen mereka dalam menjayakan penilaian pertandingan. — DEMI SABAH


