KENINGAU: Seorang lelaki berusia 35 tahun yang dikhuatiri lemas selepas dibawa arus banjir ketika cuba menyeberangi jambatan di Kampung Nuntunan, Apin-Apin akhirnya ditemui meninggal dunia petang tadi selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
Mangsa, seorang daripada tiga pekerja Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dipercayai dihanyutkan arus deras dalam kejadian pada 16 September lalu kira-kira jam 9.57 malam.
Menurut Komander Operasi, PBK I Severinus Sixtus Geofrey, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau menerima panggilan kecemasan pada malam kejadian dan tiba di lokasi sekitar jam 10.24 malam dengan kekuatan sembilan anggota bersama dua jentera Urvan dan pacuan empat roda.

“Sebaik tiba, dimaklumkan bahawa tiga orang anggota SESB cuba menyeberangi jambatan yang dilimpahi air banjir.
“Dua daripada mereka berjaya menyelamatkan diri, namun seorang lagi dihanyutkan arus deras,” katanya.
Menurutnya, pencarian segera dijalankan di sepanjang persisiran Sungai Pagalan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta bantuan unit dron.
Katanya, maklumat dari orang awam pada awal pagi 17 September menyatakan kelibat mangsa dilihat di Sungai Kepayan jam 1.06 pagi sebelum sekali lagi kelihatan di Sungai Baginda kira-kira 10 minit kemudian.
Namun, jelasnya arus yang terlalu deras menyukarkan usaha menyelamat.

“Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) kemudian dipindahkan ke Kampung Kaladakan bagi menyelaraskan operasi pencarian yang diperluas hingga ke radius 40 kilometer sepanjang Sungai Pagalan.
“Pada hari ketiga operasi (18 September), tumpuan pencarian difokuskan di sekitar Kampung Linsudan setelah sepasang kasut milik mangsa ditemui berhampiran sungai kampung tersebut, kira-kira 21 kilometer dari lokasi kejadian,” katanya.
Ujarnya, pada jam 6.18 petang hari ini, mangsa akhirnya ditemui dalam keadaan tidak bernyawa oleh pasukan pencarian Team Galen Star di kawasan sungai Kampung Liau Laut, Keningau.
Jelasnya, pasukan bomba segera memberikan bantuan membawa keluar mayat mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. — DEMI SABAH


