KOTA KINABALU: Polis Sabah telah menafikan sebarang kegiatan merekrut warga tempatan di Sabah terutamanya Lahad Datu dengan memberikan dokumen pengenalan diri yang dikaitkan dengan kesultanan Sulu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata pihak mereka memandang serius isu yang kian tular berkenaan dakwaan isu ini di media sosial.
Menurut Idris, hasil daripada siasatan dan risikan pihak PDRM telah mengesahkan tidak wujud kumpulan yang dikatakan merekrut rakyat warganegara Filipina berketurunan Sulu di Sabah.
“Pihak polis bagaimanapun masih giat menjalankan siasatan berkaitan kumpulan yang mengeluarkan dokumen diri sulu sultaniyah darul islam (ssdi) dengan mengenakan bayaran tertentu.
“Kumpulan ini dipercayai merupakan orang perseorangan yang bertindak mengambil kesempatan bagi tujuan keuntungan peribadi.
“Sehubungan itu, PDRM sabah menegaskan kepada mana-mana pihak atau individu agar tidak menyebarkan sebarang berita atau maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelumnya, wujud sebuah dakwaan berkenaan kegiatan aktif yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu dalam merekrut warga tempatan di Sabah khususnya Lahad Datu dengan memberikan dokumen-dokumen pengenalan diri yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kesultanan Sulu juga perakuan taat setia individu-individu penduduk Sabah kepada kesultanan Sulu.
Gambar yang berbentuk dikatakan dokumen identiti diri bagi Kesultanan Sulu dan juga perakuan taat setia individu-individu penduduk Sabah kepada Kesultanan Sulu juga turut ditularkan di media sosial baru-baru ini.