PUTRAJAYA: Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan berkenaan pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), bermula tahun ini. Susulan daripada keputusan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil pendekatan untuk memperkasakan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) melalui Ujian Akhir Sesi Akademik.
Jelasnya, biarpun kini tiada peperiksaan pentaksiran Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) serta PT3, penguasaan dan pencapaian murid masih boleh diukur melalui pentaksiran secara sumatif yang dijalankan pada akhir tahun, bermula tahun ini.
“Keputusan memansuhkan sistem penilaian akademik yang digunapakai sejak tahun 2014 bertujuan untuk membina kemenjadian dan kompetensi murid, selain memberi ruang untuk melaksana intervensi terhadap murid yang masih ketinggalan serta tidak mendapat tahap penguasaan sepatutnya,” katanya.
Pentaksiran sumatif adalah pentaksiran yang dibuat pada akhir tempoh atau sesi akademik.
Ianya sudah biasa dilaksanakan di sekolah, khususnya melalui ujian akhir tahun atau pertengahan penggal. Langkah ini bukan bersifat untuk menggantikan UPSR dan PT3, namun sebaliknya membolehkan pentaksiran terhadap penguasaan murid dilakukan pada setiap tahun.
Beliau berkata, sebelum ini apabila tiada peperiksaan UPSR dan PT3, setiap sekolah dikatakan menyediakan soalan berbeza-beza menimbulkan rungutan bahawa ada sekolah menyediakan soalan yang kompleks manakala ada sekolah yang menyediakan soalan yang udah.
“Langkah ini bukan untuk menggantikan UPSR dan PT3, cuma kita nak isi kekosongan, apabila kita terima banyak pandangan ibu bapa, guru dan pentadbir sekolah, mengenai tidak ada satu piawaian soalan yang boleh digunakan dan dipercayai,” tambahnya.
Beliau berkata, ketika UPSR dan PT3 digunakan untuk mentaksir penguasaan murid, ia akan turut memasukkan apa yang dipelajari pada tahun sebelumnya. Dengan itu, bermula tahun ini, sekolah rendah dan menengah akan melaksanakan Pentaksiran Sumatif melalui Ujian Akhir Sesi Akademik, dengan bank soalan akan disediakan oleh KPM.
Radzi berkata ujian itu akan melibatkan murid Tahun Empat, Lima dan Enam bagi sekolah rendah serta Tingkatan Satu, Dua dan Tiga bagi sekolah menengah.
Untuk tujuan itu, KPM akan menyediakan bank soalan bagi lima mata pelajaran untuk murid sekolah rendah iaitu bagi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah, manakala soalan mata pelajaran lain akan disediakan oleh guru sendiri.
Bagi sekolah menengah pula, KPM akan menyediakan bank soalan untuk semua mata pelajaran. Justeru, dalam pendekatan baharu yang diperkenalkan ini, perlaksanaan penilaian akan dibuat mengikut tahun dan tingkatan.
Pada masa sama, pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PDB) yang juga antara komponen PBS akan dilaksanakan secara lebih menyeluruh.
Ia akan dilaksanakan dua kali setahun iaitu bermula tahun ini untuk PBD akhir tahun manakala bagi pertengahan sesi ia akan dimulakan pada sesi 2023-2024, tahun depan.
Katanya, melalui pelaporan itu ia merangkumi diskriptor bagi tahap penguasaan lebih komprehensif dan jelas; penilaian tahap usaha murid dalam pembelajaran; ulasan guru kelas dan guru mata pelajaran serta cadangan intervensi bagi murid yang tidak mencapai tahap penguasaan minimum.