spot_img
HomeSemasaPengunjung dan pemilik pusat hiburan dikompaun RM148,000

Pengunjung dan pemilik pusat hiburan dikompaun RM148,000

PENAMPANG: Akibat leka berhibur sehingga lewat pagi, pengunjung pusat hiburan di Jalan Penampang dikenakan kompaun sebanyak RM123,000.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata tindakan berkenaan diambil kerana pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat oleh para pengunjung.

“Hasil maklumat daripada orang awam, pasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang segera dikerahkan untuk menyerbu pusat hiburan terbabit selama empat jam bermula kira-kira jam 1 pagi.” jelas beliau.

Semasa serbuan dilakukan, pengunjung yang berhibur sangat sesak dan setelah menjalankan pemeriksaan lanjut, didapati pengunjung yang berada di dalam premis itu tidak mengamalkan penjarakan fizikal serta terdapat juga pengunjung yang tidak membuat imbasan kod MySejahtera.

Beliau berkata pasukan polis kemudiannya menjalankan penguatkuasaan dengan mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,500 setiap seorang kepada pengunjung yang mengunjungi premis tersebut. Jumlah pengunjung yang dikenakan kompaun adalah sebanyak 82 orang.

Sementara itu, kerana mengizinkan pelanggaran SOP berlaku, pemilik premis juga ditahan mengikut Seksyen 3 Public Entertainment Ordinance 1958.

“Pihak berkuasa akan mengenakan kompaun sebanyak RM25,000 kepada pemilik premis berkenaan menjadikan nilai keseluruhan kompaun berjumlah RM148,000.” jelasnya.

Dengan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak terbabit atau berkunjung ke premis-premis pusat hiburan yang beroperasi secara bersembunyi.

Pihak polis khususnya IPD Penampang tidak akan berdiam dan sentiasa mengawasi dari semasa ke semasa bagi tujuan serbuan dalam membantu usaha kerajaan untuk menghentikan wabak COVID-19 di negara ini khususnya di daerah Penampang.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular