spot_img
HomeSemasaPelan Induk Gas Sabah dilancarkan

Pelan Induk Gas Sabah dilancarkan

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Hajiji Noor, melancarkan Pelan Induk Gas Sabah hari ini, iaitu kerjasama antara kerajaan negeri dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) bagi tujuan pelaburan dalam sumber gas asli di negeri ini.

Hajiji berkata, ia menandakan satu lagi peristiwa penting bagi Sabah selepas menandatangani Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) pada 7 Disember tahun lepas.

“Pelan tersebut akan mengetengahkan tiga peluang pelaburan yang berbeza untuk sumber gas asli Sabah,” katanya.

Peluang pertama ialah pembinaan loji gas asli cecair (LNG) dengan kapasiti 2.0 juta tan setahun (MTPA) di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Manakala bagi peluang kedua, kerajaan negeri akan mengambil peranan yang lebih menonjol dalam pemasaran dan pengedaran gas di Sabah dengan 120 MMscfd untuk pembangunan industri utama di negeri ini.

Ketiga, pelan itu juga akan menegaskan satu set derivatif pilihan petrokimia untuk Sabah bagi menarik pelabur, berdasarkan keperluan pasaran dan prospek masa depan serta memanfaatkan bahan mentah yang sedia ada.

“Gas asli itu akan dibekalkan dari Terminal Minyak dan Gas Sabah di Kimanis dan Terminal Gas Sabah di Tuaran,” tambahnya lagi.

Pada masa yang sama, perjanjian induk telah ditandatangani antara Sabah Energy Corporation Sdn Bhd dan Petronas untuk pembekalan 70 MMscfd gas asli, serta pertukaran dokumen HOA yang telah ditandatangani sebelum ini untuk 50 MMscfd gas asli.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular