PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud menerima kunjungan hormat Duta Besar Switzerland ke Malaysia, Chantal Moser, dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala serta berkongsi pengalaman mengenai sistem federalisme dan pentadbiran kerajaan.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Mustapha berkata, pertemuan julung kali itu memberi ruang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai pembentukan negara, struktur kerajaan serta cabaran dalam mengurus hubungan antara kerajaan Persekutuan dan wilayah atau negeri.
Menurut beliau, Malaysia dan Switzerland mempunyai beberapa persamaan sebagai negara persekutuan yang dibentuk melalui penyatuan beberapa wilayah, selain memiliki masyarakat berbilang kaum dan budaya yang mengamalkan sistem demokrasi bagi mengekalkan perpaduan serta kestabilan negara.
Katanya, perbincangan turut menyentuh pendekatan kedua-dua negara dalam menangani tuntutan negeri atau wilayah masing-masing, di samping berkongsi pengalaman berhubung tadbir urus dalam sistem persekutuan.
“Pada pertemuan ini saya turut berkongsi perkembangan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk pencapaian yang telah direkodkan Kerajaan MADANI dalam memenuhi perkara-perkara berkaitan Sabah dan Sarawak,” katanya.
Menurut Mustapha, Duta Besar Switzerland turut menjemput beliau menghadiri Majlis Resepsi Sambutan Hari Kebangsaan Switzerland yang akan diadakan pada 31 Julai ini sempena memperingati pembentukan negara itu menerusi Piagam Persekutuan 1291.
Turut hadir pada sesi kunjungan hormat itu ialah Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak serta Pegawai Tugas-Tugas Khas (Parlimen) kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).


