KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pagi tadi telah menyempurnakan Upacara Pemasangan Puncak Menara Merdeka 118.
Menara tersebut akan menjadi satu lagi mercu tanda bagi kecemerlangan sektor pembinaan di negara Malaysia.
Menara setinggi 678.9 meter itu adalah menara tertinggi di Malaysia dan merupakan menara kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa.
Menara Merdeka 118 akan menjadi menara pertama di Malaysia yang mencapai tiga penarafan platinum hijau dalam persijilan kelestarian antarabangsa serta persijilan WELL yang berprestij.
Perdana Menteri berkata, reka bentuk menara yang tersergam teguh itu sebenarnya mencerminkan imej Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sewaktu beliau mengangkat tangan melaungkan ‘Merdeka’, 64 tahun yang lalu.
“Pembinaan bangunan itu bukan sahaja satu pencapaian yang hebat dalam bidang kejuruteraan, malah mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai negara yang moden dan maju,”tambahnya.
Perdana Menteri juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada Pemodelan Nasional Berhad atas pencapaian yang terbaik itu.