KOTA KINABALU: Pasukan ranger Taman-Taman Sabah (TTS) telah menemui mayat lelaki dalam keadaan terapung di Pulau Gaya, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, penemuan mayat tersebut terjadi ketika pasukan terbabit sedang menjalankan operasi pemantauan perairan laut berhampiran di Pulau Gaya.
Menurut Mohd Zaidi, setelah kejadian itu dilaporkan, pihak polis telah menghantar sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.
“Mayat mangsa yang belum dikenalpasti identitinya itu diambil dan dihantar ke bahagian forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk tindakan selanjutnya.
“Penemuan mayat berkenaan juga telah dimaklumkan kepada semua elemen polis termasuk mengesan semula laporan orang yang hilang.
“Pihak polis juga turut menunggu laporan bedah siasat bagi mengenalpasti identiti mayat tersebut serta punca kematiannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, beliau meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga untuk tampil dan mengenalpasti identiti mangsa sebelum bedah siasat dijalankan.
“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.


