spot_img
HomePolitikMalaysia tidak layan sebarang tuntutan ke atas Sabah

Malaysia tidak layan sebarang tuntutan ke atas Sabah

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menegaskan bahawa kerajaan memandang serius dan tidak akan melayan sebarang tuntutan daripada mana-mana pihak berkaitan negeri Sabah.

Menurut beliau, Sabah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia sejak 16 September 1963.

“Tuntutan oleh pihak yang mengaku sebagai waris kepada Sultan Sulu terhadap kerajaan melalui satu prosiding timbang tara (arbitration) antarabangsa adalah tidak sah dan melanggari undang undang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Perdana Menteri berkata, pelantikan penimbang tara, Dr Gonzalo Stampa, sudah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Madrid pada 29 Jun 2021, yang mengakibatkan semua keputusan dikeluarkannya adalah tidak sah, termasuk Final Award yang dikeluarkan pada 28 Februari lalu.

“Walaupun pelantikan Dr Stampa sudah dibatalkan, beliau tidak mengendahkan keputusan Mahkamah Tinggi Madrid dengan memindahkan tempat timbang tara ke Paris, Perancis dan meneruskan prosiding timbang tara berkenaan sehingga mengeluarkan Final Award.”

“Bagi memastikan kedaulatan dan kepentingan Malaysia terpelihara, kerajaan memfailkan permohonan untuk membatalkan Final Award itu pada 3 Mac 2022 di Mahkamah di Paris, Perancis.”

“Ini bagi memastikan keputusan Final Award itu tidak boleh dikuatkuasakan oleh penuntut pada bila-bila masa dan di mana-mana negara dan supaya Malaysia tidak perlu membayar wang pampasan sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) seperti yang dituntut,” katanya.

Tegasnya, kerajaan tidak akan berganjak walau seinci pun dalam menjaga dan mempertahankan kedaulatan negara dan kedudukan Sabah dalam Malaysia akan dipertahankan untuk selama lamanya.

“Kerajaan tetap komited untuk menyelesaikan isu itu secara tuntas dan muktamad.”, tambahnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular