spot_img
HomeJenayahLelaki mengaku bersalah hantar bahan lucah, didenda RM10,000

Lelaki mengaku bersalah hantar bahan lucah, didenda RM10,000

Kota Kinabalu: Seorang lelaki didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, hari ini atas dua pertuduhan menghantar bahan berunsur lucah menerusi aplikasi Facebook Messenger tiga tahun lalu.

Tertuduh Abdul Wahab Ismail, 31, mengaku melakukan kesalahan terbabit masing-masing pada 4 September 2019 dan 9 Oktober 2019.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didapati bersalah menghantar bahan berunsur lucah menerusi aplikasi Facebook Messenger kepada seorang wanita pada 4 September 2019 di Kampung Tarap Bongawan.

Wanita terbabit kemudiannya membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pada 24 September 2019 berhubung kandungan beruncur lucah yang dihantar tertuduh.

Tertuduh sekali lagi pada 9 Oktober 2019 menghantar bahan berunsur lucah kepada wanita yang sama.

Ekoran laporan daripada mangsa, Pihak SKMM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat serbuan ke rumah tertuduh di Kampung Ulu Luagan Bongawan pada 16 Januari 2020.

Beberapa barangan milik tertuduh yang digunakan untuk menghantar bahan lucah berkenaan turut dirampas termasuklah telefon bimbit, dua kad sim dan kad micro SD.

Hakim Mahkamah Sesyen, Noor Hafizah Mohd Salim menjatuhkan hukuman mengikut Seksyen 223(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia membabitkan hukuman denda berjumlah RM10,000.

Tertuduh dikenakan denda berjumlah RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan penjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular