spot_img
HomeJenayahLelaki diberkas beli senjata guna khidmat kurier

Lelaki diberkas beli senjata guna khidmat kurier

Bintulu: Seorang lelaki ditahan dipercayai memiliki peralatan senjata yang dipercayai dibeli dari luar negara menggunakan khidmat kurier, dirampas kastam baru-baru ini.

Pegawai Menjalankan Tugas-tugas Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Mohd Nadzri Ariffin berkata sehubungan itu seorang lelaki berumur 56 tahun ditangkap di rumahnya di Jalan Sibiew di sini, pada 10 Mac.

“Semasa tangkapan dilakukan, lelaki tersebut telah hadir di lokasi kejadian dan menuntut sebuah bungkusan disyaki mengandungi perkakasan peralatan senjata (arm part) yang dihantar dari luar negara,” katanya menerusi kenyataan media pada Khamis.

Hasil pemeriksaan lanjut di rumahnya telah membawa kepada penemuan dipercayai peralatan senjata, dua unit Hatsan Airtact Synthetic Stock, satu unit BSA Contender Riflescope Hunting Optics Sight, satu unit Airsoft High Pressure Indicator Ds Tm dan satu set Scope Extend Mount.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d), Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000.00 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti Kastam atau RM500,000.00 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar, ataupun penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah dianggarkan sebanyak RM5,125.43”, tambahnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular