Lahad Datu: Seorang kru kapal dikhuatiri lemas selepas terjatuh di kawasan laut Pulau Sakar, semalam.
Mangsa, Tarri Jurani, 41 tahun itu dipercayai terjatuh dari kapal berkenaan ketika sedang melakukan kerja sebelum laporan dibuat berhubung kejadian tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Samsoa Rashid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 1.19 petang, semalam.
Susulan itu, empat anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang hilang di laut.
“Sebaik tiba, pasukan bomba difahamkan kru kapal berkenaan telah terjatuh di laut ketika sedang melakukan kerja menurunkan pukat,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, Pasukan bomba menjalankan SAR seawal jam 7 pagi, hari ini selepas operasi semalam ditangguhkan kerana mangsa gagal ditemukan.
Laporan sementara sehingga jam 11.30 pagi tadi, belum ada sebarang petunjuk mangsa ditemukan, namun SAR masih diteruskan dalam kawasan yang lebih luas lagi termasuk di persisir Pulau Sakar.
“Sebarang maklumat operasi SAR yang dijalankan akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” Tambahnya lagi. -Utusan Borneo