PELABUHAN KLANG: Seorang pemandu lori hampir maut selepas kenderaan yang dipandunya itu dihempap sebuah kontena yabg terjatuh dari jejambat berdekatan susur keluar ke Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), hari ini.
Menurut laporan, ketika kejadian mangsa berusia 49 tahun dalam perjalanan ke Pulau Indah, sebelum kontena yang membawa muatan kotak sekitar semula jatuh dan terkena bahagian hadapan lori yang dipandunya.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada 1.17 tengah hari sebelum mengerahkan sepasukan pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja bergegas ke lokasi kejadian.
Menurut Norazam, setibanya di lokasi kejadian, didapati sebuah kontena terjatuh dari atas jejambat yang dianggarkan setinggi 40 kaki (12 meter) dan menghalang laluan ke Pulau Indah.
“Difahamkan, ketika kejadian, terdapat dua lori kontena melalui jalan berkenaan. Apabila kontena dari atas jejambat jatuh, ia menghempap belakang sebuah lori dan turut terkena bahagian hadapan lori yang dipandu lelaki berusia 49 tahun itu.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa yang membawa kontena bermuatan sarung tangan itu tersepit di tempat duduknya bagaimanapun, mangsa berjaya dikeluarkan sebelum pasukan bomba tiba,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan itu, mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk mendapatkan rawatan lanjut.