PUTRAJAYA: Catatan kes harian Covid-19 terus menunjukkan kadar penurunan selama tiga hari berturut-turut iaitu sebanyak 10,002 kes yang dilaporkan setakat semalam.
Merujuk laman sesawang COVIDNOW, kes baharu itu membabitkan 9,904 kes penularan tempatan dengan 98 kes lagi adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.
Perkembangan itu sekali gus menjadikan sehingga kini jumlah keseluruhan kes adalah sebanyak 4,256,469. Negeri tertinggi yang melaporkan kes baharu adalah Selangor dengan pertambahan kes empat angka iaitu sebanyak 5,791 kes, kemudian diikuti Negeri Sembilan sebanyak 586 kes, Johor (489) dan Kuala Lumpur (481).
Sementara itu, Pulau Pinang mencatatkan sebanyak 414 kes, Perak 403 kes, Kedah 338 kes, Sarawak 328 kes, Pahang 306 kes, Terengganu 238 kes, Sabah 140 kes, Putrajaya 46 kes dan bagi kes di Perlis dan Labuan, masing-masing mencatatkan 20 kes.
Sehingga kini terdapat sebanyak 179,619 kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 di negara ini dan daripada jumlah berkenaan, sebanyak 175,339 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.
Selebihnya, sebanyak 3,622 kes sedang mendapatkan rawatan di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) (422), Unit Rawatan Rapi (ICU) memerlukan alat bantuan pernafasan (140) dan ICU serta tidak memerlukan alat bantuan pernafasan (96).
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, daripada jumlah kes baharu yang dikesan semalam itu sebanyak 54.94 peratus atau 5,495 kes adalah pesakit COVID-19 dalam kategori satu.
Ia diikuti pesakit COVID-19 dalam kategori dua yang merekodkan sebanyak 4,418 kes, kategori empat 33 kes, kategori tiga 30 kes dan kategori lima 26 kes. Secara keseluruhannya, daripada 89 kes dalam kategori tiga hingga lima itu, sebanyak 60 kes membabitkan individu yang mempunyai komorbid.
“Selain itu sebanyak 51 kes adalah membabitkan pesakit COVID-19 berusia 60 tahun ke atas. Terdapat 34 kes bagi individu yang sudah menerima dua dos vaksin, 31 kes bagi individu yang tidak divaksin atau tidak lengkap vaksin dan 24 kes bagi individu yang sudah menerima dos penggalak,” katanya.
“Jumlah kluster yang masih aktif di negara ini kekal pada 173 kluster kerana tiada pertambahan kluster baharu setakat semalam.
Sementara itu, mengenai kes kematian yang dilaporkan semalam, data yang direkodkan dalam COVIDNOW menunjukkan sebanyak 28 kes korban menjadikan sehingga kini sebanyak 35,127 angka kematian akibat Covid-19. Angka korban yang dilaporkan itu termasuklah tujuh kematian di luar fasiliti kesihatan (BID),” tambahnya.
Kes kematian tertinggi direkodkan di Perak dan Selangor iaitu masing-masing melaporkan enam kes, ia diikuti Johor lima kes, Pulau Pinang empat kes, Negeri Sembilan tiga kes, Pahang dua kes serta bagi Kedah dan Sarawak, masing-masing mencatatkan satu kes.
Mengenai kes sembuh di negara ini, setakat semalam sebanyak 23,302 kes sembuh dilaporkan menjadikan sehingga kini sebanyak 4,041,723 kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19.