KOTA KINABALU: Sabah terus mencatatkan penurunan kes baharu COVID-19 dengan 140 kes pada Isnin, iaitu penurunan sebanyak 27 kes berbanding hari sebelumnya.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun berkata, hampir semua daerah menunjukkan peningkatan dengan jumlah kes baharu setiap hari.
Beliau berkata, hanya empat daerah mencatatkan dua digit kes iaitu Kota Kinabalu, 37, Tuaran, 21 dan Tenom, 13 diikuti Penampang, 12.
Beliau berkata, enam daerah iaitu Kinabatangan, Nabawan, Keningau, Tongod, Kalabakan dan Putatan melaporkan sifar kes baharu dalam tempoh 24 jam lepas.
Masidi yang juga merupakan jurucakap COVID-19 Sabah, berkata jangkitan sporadis telah meningkat kepada 55 peratus daripada 43 peratus pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan peratusan jangkitan sporadis yang tinggi menunjukkan risiko jangkitan yang lebih tinggi, terutamanya di tempat sesak.
“Orang ramai perlu berhati-hati ketika mengunjungi tempat awam seperti bazar Ramadan dan pusat beli-belah. Terus patuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP)” katanya.
Daripada 140 kes baharu itu, 135 atau 96.43 peratus adalah dalam Kategori 1 dan 2, empat dalam Kategori 4 dan satu dalam Kategori 4. Tiada kes baharu direkodkan dalam Kategori 3. – Borneo Post Online


