LIBARAN : Keprihatinan berterusan pimpinan tertinggi UMNO terhadap rakyat Sabah terus dizahirkan apabila sejumlah 12 buah Tabika KEMAS di kawasan Libaran dipohon untuk dinaik taraf dan tujuh daripadanya telah diluluskan serta sedang dalam pelaksanaan.
Malah, sebanyak RM1 juta turut diluluskan Kerajaan Persekutuan bagi pembinaan semula jambatan di Kampunh Batu Putih khusus untuk penduduk yang terkesan akibat kebakaran baru-baru ini.
Ketua Bahagian UMNO Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berkata, itu membuktikan UMNO tidak pernah meminggirkan rakyat khususnya di kawasan luar bandar dan Libaran kekal dalam perhatian Presiden UMNO merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Dalam laporan Persidangan UMNO Bahagian Libaran, jumlah kehadiran perwakilan mencerminkan semangat perjuangan yang masih membara.
“UMNO Libaran mencatat pertambahan keahlian baharu kedua tertinggi peringkat nasional dengan 563 keahlian baharu antara Julai 2023 hingga Jun 2024, majoritinya terdiri daripada anak muda yang menjadi petunjuk jelas perjuangan UMNO masih relevan dan diterima generasi baharu.
“UMNO Libaran tidak akan hidup tanpa kesetiaan ahli dan sokongan akar umbi yang tidak pernah luntur. Kita telah melalui jatuh bangun. Namun parti ini kekal utuh sebagai nadi bangsa dan negara,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Libaran 2025 dan Pelancaran Gerak 17 DUN N.50 Gum-Gum di sini, hari ini.
Perasmian mesyuarat itu disempurnakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Suhaimi turut mengkritik kerajaan negeri pimpinan GRS yang disifatkan sebagai gagal menyelesaikan masalah asas rakyat.
“Air, jalan dan elektrik – isu tiga serangkai ini masih membelenggu rakyat.
“Kadar pengangguran Sabah kekal tinggi. Malangnya, kelemahan mereka ditutup dengan menyalahkan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau menegaskan, GRS bukan terbina dari kekuatan sendiri, ia terbentuk hasil lompatan daripada BN ke PN, lalu menubuhkan GRS yang merupakan satu pengkhianatan terhadap mandat rakyat.
Sebaliknya, jelas beliau, Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Presiden UMNO lebih banyak membawa pembangunan dan kebajikan kepada Sabah bukan sahaja di Libaran, malah di seluruh pelosok negeri termasuk kawasan pedalaman. — DEMI SABAH


