KOTA KINABALU: Kenyataan terbaru Presiden Warisan yang berjanji mahu melupuskan pinjaman pendidikan termasuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Yayasan Sabah serta menawarkan biasiswa penuh kepada anak-anak Sabah disifatkan sebagai retorik politik populis yang hanya muncul menjelang pilihan raya.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kenyataan itu dianggap tidak lebih daripada cubaan meraih sokongan rakyat khususnya golongan muda.
Buktinya kata Nizam, Datuk Seri Shafie Apdal tidak pernah melaksanakan dasar seumpama itu semasa berkuasa dan menjadi Ketua Menteri Sabah dari tahun 2018 hingga 2020.
“Rakyat Sabah masih ingat, sepanjang tempoh beliau memegang kuasa, tiada sebarang dasar konkrit berkaitan pelupusan hutang pendidikan dilaksanakan.
“Ketika beliau berpeluang menggunakan kuasa, perkara itu langsung tidak menjadi keutamaan pentadbirannya,” kata kenyataan itu.
Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N68 Apas sebaliknya berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor telah membuktikan komitmen terhadap sektor pendidikan melalui pelbagai inisiatif yang memberi kesan langsung kepada rakyat Sabah, khususnya golongan B40.
Antara inisiatif yang telah digerakkan termasuk:
• Dana Bantuan Pendaftaran IPT untuk pelajar dari keluarga berpendapatan rendah,
• Program Dermasiswa Sabah Maju Jaya,
• Penambahan peruntukan kepada Yayasan Sabah bagi tujuan biasiswa dan bantuan pelajaran,
• Pembangunan dan penambahbaikan sekolah-sekolah daif luar bandar, serta
• Pelbagai lagi program peningkatan akses pendidikan tinggi untuk golongan yang memerlukan.
“Malah, kerajaan Sabah turut menyalurkan peruntukan secara langsung kepada mahasiswa Sabah yang menuntut di luar negeri.
“Sesuatu yang tidak pernah berlaku di bawah pentadbiran Warisan dahulu.
“Kerajaan GRS memilih untuk bertindak secara bertanggungjawab dan realistik dari sudut kewangan negeri.
“Segala usaha pendidikan dibuat dengan perancangan mampan, bukan menjual harapan palsu kepada anak muda semata-mata untuk memancing undi,” katanya.
Justeru, ujarnya rakyat Sabah diseru agar bijak menilai janji-janji yang muncul hanya ketika musim pilihan raya dan terus memberi sokongan kepada kepimpinan negeri yang komited membangunkan generasi akan datang melalui pelaburan sebenar dalam pendidikan dan pembangunan modal insan. — DEMI SABAH


