Kerajaan Sabah terima dividen RM9 juta dari Sabah Energy

304

KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah hari ini menerima dividen sebanyak RM9 juta daripada Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2021.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyaksikan penyerahan dividen itu daripada Ketua Pegawai Eksekutif SEC Datuk Harun Ismail kepada Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri Mohd. Sofian Alfian Nair.

Harun berkata SEC dan kumpulan syarikatnya mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM42.7 juta bagi tahun 2021.

“Keuntungan itu lebih rendah daripada prestasi kumpulan pada tahun 2020 sebanyak RM50.6 juta,” tambahnya.

Menurut Harun, keuntungan sebelum cukai anak syarikat milik penuh SEC, Asian Supply Base Sdn Bhd (ASB) bagi tahun 2021 menurun kepada RM17.7 juta manakala keuntungan sebelum cukai SEC di peringkat syarikat ialah RM18.1 juta.

“Berbanding modal berbayar Kerajaan Negeri sebanyak RM299.9 juta, pelaburan semula keuntungan terkumpul selama ini telah menyebabkan Dana Pemegang Saham meningkat kepada lebih RM1 bilion pada akhir 2021,” tambahnya.

“Sebagai tambahan kepada peningkatan nilai kepada pemegang sahamnya, SEC juga telah membayar dividen berjumlah RM231 juta kepada kerajaan sehingga kini,” tambahnya lagi.

Harun berkata SEC kekal fokus dalam mengukuhkan portfolio perniagaannya dan mengekalkan keuntungan kumpulan.

“SEC akan terus menyediakan bekalan tenaga yang lebih baik, lebih selamat, bersih, mampu milik dan boleh diakses oleh lebih ramai pemegang kepentingan dalam komuniti perniagaan di Sabah,” tambahnya.

Turut hadir Pengerusi SEC Datuk Annuar Ayub dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong. – BERNAMA