spot_img
HomeSemasaKerajaan pastikan sekolah daif di Sabah dinaiktaraf

Kerajaan pastikan sekolah daif di Sabah dinaiktaraf

Kota Kinabalu: Kerajaan terus komited untuk melabur dalam bidang pendidikan demi masa depan anak di negara ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup, memberitahu, antara komitmen kerajaan termasuklah untuk memperbaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Sebanyak 113 Sekolah Daif telah diamanahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan JKR Sabah sebagai Agensi Pelaksana oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kos keseluruhan projek menaik taraf sebanyak RM1.02 bilion”

“Daripada jumlah tersebut, enam projek dalam fasa penyerahan, 58 projek dalam fasa pembinaan, tiga dalam fasa perolehan dan selebihnya berada dalam fasa rekabentuk, perancangan dan pra-perancangan”

Pada masa yang sama, Arthur turut ingin mengucapkan terima kasih kepada KPM di atas kepercayaan yang telah diberikan kepada Kementerian Kerja Raya dan agensi bagi menaiktaraf fasiliti pendidikan di Sabah terutamanya di kawasan pedalaman.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan simbolik kunci sekolah baharu kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Inandung, semalam.

Hadir sama Jurutera Awam Penguasa Kanan JKR Malaysia, Ir. Mohd Faizul Mohd Ali Hanapiah dan Ketua Penolong Pengarah/Projek Bangunan JKR Sabah, Andrew Durat Misum.

Dalam perkembangan berkaitan, Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan memberitahu, bagi kawasan parlimen Pensiangan, sebanyak lima buah sekolah daif sedang dalam proses pelaksanaan, dan tiga daripadanya telah diserahkan kepada pihak pengurusan sekolah.

“Lima buah sekolah tersebut adalah SK Inandung, SK Simbuan, SJKC Cheng Ming, SK Penagatan dan SK Ansip dengan kos perbelanjaan sebanyak RM18.8 juta.

“Projek yang berteraskan kepada keperluan rakyat mencerminkan keprihatinan Kerajaan dalam memastikan anak-anak ‘Keluarga Malaysia’ mendapat infrastruktur dan persekitaran pendidikan yang selesa bagi membolehkan mereka mencapai perkembangan diri yang optimum”

“Persekitaran pembelajaran memainkan peranan yang penting dalam menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Persekitaran fizikal seumpama guru ketiga yang membimbing pembelajaran dalam bilik darjah”

“Para pelajar akan dapat memberi lebih penumpuan terhadap pembelajaran apabila mereka berada dalam situasi yang selamat dan selesa, ” tambahnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular