HomeSemasaJawatankuasa khas teliti pelaksanaan Borneonisasi perkhidmatan awam di Sabah, Sarawak

Jawatankuasa khas teliti pelaksanaan Borneonisasi perkhidmatan awam di Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI terus memperhalusi pelaksanaan Borneonisasi perkhidmatan awam Persekutuan di Sabah dan Sarawak menerusi sebuah jawatankuasa kerja khas di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ir. Mustapha Sakmud berkata, langkah itu bagi memastikan perkara berkenaan diteliti secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dilaksanakan.

Menurut beliau, Kerajaan Sarawak menetapkan nisbah 80:20 bagi pengisian jawatan ketua jabatan Persekutuan di negeri itu yang mengutamakan anak Sarawak, selain meminta agar kerajaan negeri dirujuk terlebih dahulu sebelum sebarang penempatan ketua jabatan di agensi dan jabatan Persekutuan di Sarawak dibuat.

“Bagi memastikan perkara mengenai Borneonisasi perkhidmatan awam Persekutuan di Sabah dan Sarawak diteliti dengan lebih terperinci, MTPMA63 telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Kerja Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dan Sarawak di bawah MTPMA63.

“Jawatankuasa itu dipengerusikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dan diterajui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), dengan keanggotaan membabitkan Kerajaan Negeri Sabah, Kerajaan Negeri Sarawak serta beberapa kementerian dan jabatan Persekutuan,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pada persidangan Dewan Rakyat.

Mustapha berkata, sehingga kini Jawatankuasa Kerja Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dan Sarawak di bawah MTPMA63 telah mengadakan lima mesyuarat bagi memperincikan cadangan serta mekanisme pelaksanaan Borneonisasi dalam perkhidmatan awam Persekutuan.

Katanya, kerajaan akan terus menggunakan platform MTPMA63 bagi memastikan pelaksanaan tuntutan berkaitan Borneonisasi dapat dilaksanakan secara teratur, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan kerangka perundangan sedia ada.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular