KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus mempergiat usaha memperkukuh pelaksanaan dasar Borneonisasi dalam perkhidmatan awam Persekutuan di Sabah dan Sarawak, termasuk memberi keutamaan kepada anak tempatan untuk mengisi jawatan di kedua-dua negeri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ir. Mustapha Sakmud berkata, pelaksanaan dasar itu terus dibincangkan menerusi platform Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dengan Sarawak hampir mencapai sasaran bagi jawatan pengurusan tertinggi, manakala Sabah masih mempunyai kira-kira 20 peratus jawatan yang perlu dipenuhi.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Tuan Abun Sui Anyit pada persidangan Dewan Negara.
Menurut Mustapha, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut memberi taklimat kepada semua kementerian dan jabatan Persekutuan supaya mengutamakan anak negeri Sabah dan Sarawak dalam urusan penempatan pegawai.
“Selain itu, kita juga melihat potensi anak-anak Borneo yang kini berkhidmat di kementerian dan agensi Persekutuan di Semenanjung, khususnya di Putrajaya, untuk dibawa pulang berkhidmat di Sabah dan Sarawak.
“Pengalaman yang dimiliki mereka amat diperlukan bagi membantu membangunkan kedua-dua negeri,” katanya.
Terdahulu, Abun meminta kerajaan menetapkan sasaran dan garis masa yang jelas bagi memastikan jawatan dalam perkhidmatan awam Persekutuan di Sabah dan Sarawak benar-benar diisi oleh anak tempatan selaras dengan semangat Borneonisasi.
Beliau turut mempersoalkan mekanisme pemantauan yang digunakan kerajaan bagi memastikan pelaksanaan dasar itu mencapai objektifnya dan tidak terus berlarutan tanpa penyelesaian yang jelas.


