HomeEkonomiKerajaan perkukuh pelaksanaan Program PANTAS, selesai isu tanah NCR di Sabah

Kerajaan perkukuh pelaksanaan Program PANTAS, selesai isu tanah NCR di Sabah

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memperkukuh pelaksanaan Program Perkhidmatan Pengukuran Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) bagi mempercepatkan penyelesaian isu tanah Hak Adat Anak Negeri (NCR) yang masih belum mempunyai hak milik di Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ir. Mustapha Sakmud berkata, kerajaan mengambil maklum masih terdapat kawasan tanah NCR yang belum selesai diukur dan diproses.

Menurutnya, keadaan itu berpunca daripada beberapa faktor termasuk keluasan kawasan pedalaman, bentuk muka bumi yang mencabar, pertindihan tuntutan hak milik, keperluan pengesahan oleh kerajaan negeri serta proses perundangan yang perlu dipatuhi.

“Sehubungan itu, kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah bagi memastikan pelaksanaan Program PANTAS dapat diteruskan dengan lebih cekap dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pada persidangan Dewan Rakyat.

Mustapha berkata, kerajaan kekal komited meneruskan usaha menyelesaikan isu tanah NCR di Sabah dengan menyediakan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi program pengukuran tanah NCR.

Katanya, penyediaan peruntukan itu bertujuan memastikan momentum pelaksanaan Program PANTAS dapat dikekalkan, sekali gus mempercepatkan penyelesaian baki tanah NCR yang masih belum mempunyai hak milik.

Beliau menegaskan usaha berterusan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan lebih ramai rakyat Sabah memperoleh pengiktirafan hak milik tanah secara sah, di samping meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular