HomeEkonomiJangan biarkan industri pelancongan Sabah, jadi mangsa dasar Subsidi Diesel

Jangan biarkan industri pelancongan Sabah, jadi mangsa dasar Subsidi Diesel

KOTA KINABALU: Datuk Jafry Ariffin, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah mengesa menggesa Kerajaan Persekutuan supaya mempertimbangkan semula pelaksanaan subsidi diesel kepada pengusaha-pengusaha pelancongan di Sabah yang berdepan peningkatan kos operasi akibat pelaksanaan dasar tersebut.

Jafry berkata, Isu ini tidak boleh dipandang ringan. Pengusaha pelancongan di Sabah, khususnya di kawasan pulau dan destinasi luar bandar, bergantung kepada diesel bagi menggerakkan bot pelancong, menjana bekalan elektrik serta memastikan operasi harian berjalan lancar.

“Sekiranya tiada penyelesaian segera diberikan, ramai pengusaha akan berdepan tekanan kewangan yang serius”

“Lebih membimbangkan, ada yang mungkin terpaksa mengurangkan operasi, memberhentikan pekerja malah menutup perniagaan seperti yang berlaku ketika pandemik COVID-19,” katanya.

Tambah beliau, tidak boleh membiarkan industri yang sedang bangkit semula selepas pandemik kembali terjejas hanya kerana kos operasi yang semakin membebankan.

“Hakikatnya, sektor pelancongan merupakan antara tonggak utama ekonomi Sabah. Industri ini menyumbang kira-kira 12 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri, menjana sehingga RM13.7 bilion hasil tahunan serta menyediakan sekitar 387,600 peluang pekerjaan, mewakili lebih 22 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja Sabah,” jelasnya.

Menurut beliau, ini adalah soal kelangsungan ekonomi negeri, kelangsungan ribuan perusahaan tempatan serta mata pencarian ratusan ribu rakyat Sabah yang bergantung secara langsung dan tidak langsung kepada industri pelancongan.

Beliau mendesak Kerajaan Persekutuan agar mengambil kira realiti geografi Sabah serta keunikan operasi industri pelancongan negeri dengan memperkenalkan mekanisme subsidi diesel yang lebih adil, fleksibel dan bersasar kepada pengusaha pelancongan yang benar-benar layak.

“Melindungi industri pelancongan hari ini bermakna melindungi ekonomi Sabah untuk masa depan. Keputusan yang dibuat sekarang akan menentukan sama ada industri ini terus berkembang atau kembali berdepan krisis yang pernah kita lalui ketika pandemik COVID-19,” katanya.

Jelas Jafry lagi, Kerajaan Negeri akan terus membawa suara pemain industri dan berharap Kerajaan Persekutuan dapat bertindak segera demi memastikan sektor pelancongan Sabah terus kekal berdaya saing, mampan dan menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular