HomeEkonomiDUN Sabah : Sabah tuntut baki RM900 juta Pemberian Khas

DUN Sabah : Sabah tuntut baki RM900 juta Pemberian Khas

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah telah menerima bayaran interim Pemberian Khas berjumlah RM600 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2026.

Pembantu Menteri Kewangan Datuk Mohd Ishak Ayub berkata, Kerajaan negeri juga kini memohon agar baki RM900 juta disalurkan dalam tahun ini, sekali gus melengkapkan jumlah interim RM1.5 bilion yang diumumkan sebelum ini.

Beliau berkata, pengumuman peningkatan bayaran interim Pemberian Khas Sabah kepada RM1.5 bilion dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika Majlis Perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 pada 30 Mei lalu.

Susulan pengumuman tersebut, beberapa siri surat-menyurat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah telah berlangsung pada 9 Jun, 19 Jun dan 26 Jun 2026 bagi membincangkan pelaksanaan bayaran berkenaan.

“Bayaran interim pertama sebanyak RM600 juta diterima pada 12 Jun 2026, manakala permohonan telah dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan supaya baki RM900 juta disalurkan dalam tahun yang sama.

“Pada masa sama, persetujuan terhadap kadar interim RM1.5 bilion itu hanyalah satu penyelesaian sementara dan tidak boleh dianggap sebagai persetujuan terhadap amaun muktamad Pemberian Khas yang sepatutnya diterima Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tamparuli) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Isnin

Ishak berkata, persetujuan tersebut dibuat tanpa menjejaskan hak-hak Perlembagaan Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, selain tidak menghalang usaha meneruskan rundingan berhubung pelaksanaan formula 40 peratus bagi menentukan jumlah sebenar Pemberian Khas.

Menurutnya, Kerajaan Sabah turut menegaskan pendirian bahawa formula 40 peratus yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan hendaklah dilaksanakan sepenuhnya.

“Sekiranya persetujuan mengenai amaun muktamad Pemberian Khas gagal dicapai melalui rundingan, kerajaan negeri berpandangan bahawa pelantikan seorang penaksir bebas, sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan, perlu dilaksanakan bagi menentukan jumlah yang sewajarnya diterima Sabah,” katanya.  – Sabah Media

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular