KUALA LUMPUR: Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) pada tahun 2022 akan memanfaatkan lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM8.2 bilion, meningkat berbanding 8.6 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM7 bilion di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) pada tahun lepas.
Menurut Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz, individu yang layak menerima inisiatif BKM boleh mendaftar atau mengemaskini maklumat mereka mulai 1 hingga 31 Januari ini.
Tambahnya, inisiatif tersebut adalah untuk memastikan mereka yang layak dan tiada dalam pangkalan data kerajaan boleh mengemukakan permohonan manakala pengemaskinian boleh dibuat kepada penerima sedia ada yang mempunyai sebarang perubahan maklumat.
“Bagi data penerima BPR dan Bantuan Khas Covid-19 (BKC) 2021, serta penerima Geran Khas Prihatin (GKP) yang permohonannya ditolak akan secara automatik dibawa ke dalam sistem BKM untuk semakan silang mengikut syarat yang telah ditetapkan,” jelasnya dalam satu kenyataan media.
Selain itu, data daripada agensi kerajaan lain seperti data e-Kasih, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan penduduk Perumahan Awam atau Projek Perumahan Rakyat di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga akan dibawa ke dalam sistem BKM.
Untuk maklumat lanjut, pemohon boleh merujuk kepada Soalan Lazim (FAQ) yang dimuat naik di portal rasmi BKM di https://bkm.hasil.gov.my.