spot_img
HomeSemasaIbu bapa runsing makanan kantin sekolah naik harga

Ibu bapa runsing makanan kantin sekolah naik harga

Kota Tinggi: Tindakan pengurusan sekolah dengan menaikkan harga jualan makanan di kantin sekolah selepas pembukaan sesi persekolahan penggal ketiga 2022 membuatkan ramai ibu bapa mengeluh.

Bagi seorang bapa, Hairizal Hadman, 38 berkata, kenaikan itu baru dimaklumkan oleh guru selepas pembukaan sesi persekolahan penggal ketiga kali ini.

“Kenaikan harga itu melibatkan menu ayam seperti nasi ayam, nasi putih ayam kari, nasi kuning ayam goreng, nasi putih ayam kicap, nasi lemak ayam goreng juga mi goreng ayam goreng,”

“Kesemua harga bagi menu tersebut sebelum ini berharga RM2, namun pihak pengurusan memaklumkan harga telah naik kepada RM3”

Ujarnya, pemakluman kenaikan harga itu selaras dengan saiz ayam yang lebih besar berbanding sebelum ini.

“Harga makanan lain seperti nasi goreng, bihun goreng dan mi goreng yang kekal pada harga lama iaitu RM1, manakala air dijual iaitu air mineral juga kekal RM1”

Seorang suri rumah, Norhanis Mohammad, 35, berkata, sekiranya berlaku kenaikan, ia sedikit sebanyak akan menjejaskan ekonomi isi rumah khususnya keluarga yang mempunyai bilangan anak ramai.

“Saya mempunyai empat orang anak yang berusia antara 5 hingga 15 tahun, tiga daripada mereka sedang bersekolah dan kenaikan harga di kantin walau sedikit pasti memberi kesan”

Tambah Norhanis, dia sebenarnya lebih gemar menyediakan bekal makanan sahaja, tetapi ada kalanya beliau tidak berkesempatan berbuat demikian, sehingga anak-anaknya terpaksa membeli di kantin sekolah.

Seorang lagi pekerja swasta, Norshikin Mohd. Salleh, 39, pula menjelaskan, kantin di sekolah anaknya masih belum beroperasi ketika ini.

“Bayangkan jika keluarga itu ada tiga atau empat orang anak bersekolah, sudah tentu belanja bertambah,” ujarnya. -Kosmo

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular