JAKARTA: Letusan Gunung Semeru di Jawa Timur mengundang rasa bimbang penduduk terhadap gunung berapi lain di seluruh Indonesia.
Memetik laporan status gunung berapi Pusat Mitigasi Bencana Vulkanologi dan Geologi (PVMBG), seminggu selepas berlakunya letusan Gunung Semeru, terdapat tiga lagi gunung berapi yang meningkatkan amaran kepada tahap tiga iaitu yang kedua tertinggi.
Gunung Merapi juga merupakan antara gunung berapi paling aktif yang terletak di sempadan wilayah Jawa Tengah dan Yogyakarta; Gunung Sinabung di wilayah Sumatera Utara dan Gunung Lewotolok di Nusa Tenggara Timur (NTT).
Gunung Semeru, gunung berapi tertinggi di Jawa, pada masa ini masih kekal di amaran tahap dua, bersama sembilan lagi gunung berapi lain di serata Indonesia.
Menurut rekod laporan Agensi Mitigasi Bencana Nasional (BNPB), letusan bermula di Gunung Semeru pada 4 Disember lalu.
Laporan pada 12 Disember mencatatkan terdapat 46 mangsa disahkan maut manakala sembilan lagi masih hilang sementara ratusan keluarga terpaksa mencari tempat perlindungan.

Sementara itu, Ketua Pusat Pembangunan dan Penyelidikan Teknologi Bencana (BPPTKG), Hanik Humaida, memberi laporan bahawa Gunung Merapi memuntahkan kepulan awan panas meliputi radius dua kilometer (km) pada 12 Disember 2021.
Kepulan awan abu panas direkodkan pada jam 10.18 pagi (waktu tempatan) dan memuntahkan lahar sebanyak tiga kali,” katanya.
BPPTKG segera mengeluarkan amaran kepada penduduk tempatan agar tidak melakukan sebarang kegiatan di kawasan yang berdekatan kerana letusan boleh menyebabkan bahan yang dimuntahkan tersebar sejauh 3 kilometer.
Kegiatan pelancongan tidak dibenarkan dalam radius 5 km dari puncak gunung dan semua perlombongan dihentikan buat masa ini.
Agensi vulkanologi turut mengesan kabus tebal berintensiti tinggi di Gunung Sinabung. Penduduk tempatan dan pelancong juga diberi amaran untuk tidak melakukan sebarang kegiatan dalam lingkungan 3 km dari puncak gunung.
Susulan peningkatan aktiviti gunung berapi itu, PVMBG mengarahkan orang ramai memakai pelitup muka ketika berada di luar bagi mengelak terhidu abu manakala penduduk di tebing sungai di sekeliling gunung diminta berjaga-jaga terhadap potensi aliran lahar.
PVMBG merekodkan gegaran akibat aktiviti gunung berapi yang turut memuntahkan serpihan bahan vulkanik, tiada kegiatan dibenarkan dalam radius 3 km kerana wujud potensi diselubungi awan panas.
Susulan bahaya daripada abu vulkanik, agensi menasihatkan penduduk setempat memakai pelitup muka dan menggunakan sebarang perlindungan lain bagi menutup mata serta kulit.
Data terbaru PVMBG menunjukkan Indonesia kini mempunyai 127 gunung berapi aktif iaitu yang paling banyak di dunia termasuk 20 yang dianggap paling aktif.


