KOTA KINABALU : Seorang wanita bersama seorang lelaki telah ditahan kerana didapati terlibat dalam kes penipuan jual beli kucing melalui media sosial Facebook pada 18 April lalu.
Menurut Bahagian Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kontinjen Sabah kes penipuan jual beli kucing itu melibatkan kerugian sebanyak RM11,000.00.
Suspek yang ditangkap merupakan pemilik akaun yang akhirnya mengakui telah memberikan kad ATM miliknya kepada seorang lelaki yang juga tunangnya.
Tangkapan susulan terhadap lelaki tersebut dilakukan dan hasil risikan mendapati lelaki ini merupakan orang tengah kepada sindiket penipuan yang mana lelaki ini menggunakan akaun bank milik tunangnya untuk menerima wang kegiatan penipuan sebelum di pindahkan ke beberapa akaun luar negara.
Lelaki ini juga mengakui telah bekerjasama dengan sindiket luar negara untuk menjalankan aktiviti jenayah penipuan dengan menjadi perantara pindahan wang hasil daripada penipuan.
Kes ini disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Kesempatan itu, orang awam diingatkan agar tidak berkongsi kad ATM, maklumat perbankan dan lain-lain maklumat peribadi yang membolehkan anda terlibat dengan jenayah penipunian secara tidak langsung.