Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya mencipta sebuah mesin pembersih sungai yang berfungsi untuk mengutip dan mengumpulkan sampah sarap yang terapung termasuk sisa buangan bahan terlarut yang mencemarkan air sungai.
Menurut Pengarah Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan (PPIP) UMS, Prof Madya Dr Jidon Adrian Janaun yang juga pereka cipta mesin itu, berkata penghasilan prototaip mesin berkenaan bermula pada 2018 dan disiapkan secara berperingkat semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Difahamkan mesin prototaip bernilai RM100,000 itu siap sepenuhnya pada Februari lalu dan mampu mengutip sehingga 60 liter sekali kautan dengan kecekapan 90 peratus sampah yang terapung di sungai.
Bagaimanapun, katanya mesin prototaip berbentuk seperti buaian berpusing itu setakat ini hanya bagi kegunaan UMS untuk dijadikan contoh bagi kajian penyelidikan, namun model mesin berkenaan boleh dipasang dan berfungsi di sungai dengan sedikit pengubahsuaian.
“Di UMS, mesin ini dipasang menggunakan tenaga elektrik untuk menunjukkan bagaimana ia berpusing memerangkap sampah yang terapung di sungai sebelum disalurkan ke dalam tong pengumpulan sampah yang disambungkan dari mesin.”
“Untuk dipasang di kawasan sungai, kami memerlukan mesin baharu daripada model yang sama, tetapi bahannya perlu yang lebih ringan berbanding mesin di sini dan mempunyai platform atau jeti yang terapung supaya mesin itu tidak hanyut apabila banjir,” katanya.
Jidon Adrian menambah, mesin pembersih yang diletakkan di sungai akan menggunakan tenaga solar dan berpusing mengikut kelajuan aliran air sungai untuk memerangkap sampah sarap di permukaan air.
Namun, katanya, proses pemasangan mesin di kawasan sungai bukan di bawah bidang kuasa UMS, sebaliknya adalah tanggungjawab syarikat yang mendapat hak mengkomersialkan mesin berkenaan.
“UMS hanya akan memberi panduan dari segi reka bentuk, khidmat nasihat mengenai komponen yang bersesuaian kepada syarikat berkenaan, pemilihan bahan yang tahan lama selain penggunaan kos pengeluaran yang rendah.”
Projek berkenaan turut mendapat sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah yang turut menyumbang dana berjumlah RM30,000.