LABUAN: Giat MARA Labuan bakal beerjasama dengan syarikat pemain utama industri minyak dan gas terkemuka di rantau Asia Pasifik.
Pengerusi Penasihat Giat MARA Labuan Datuk Mohd Rafi Ali Hassan berkata,
Giat MARA Labuan akan memperluaskan program kemahiran yang sedia ada kepada kursus baharu yang berkaitan dengan minyak dan gas serta perkapalan seiring dengan keperluan minyak dan gas negara dan dunia.
“Bagi merealisaikan impian itu, Giat MARA Labuan bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan syarikat perlimbungan Labuan Shipyard Engineering (LSE) dan beberapa syarikat utama dalam industri minyak dan gas bagi menawarkan pelbagai program kemahiran untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada anak anak muda tempatan dari Labuan yang terlatih,” katanya.
Katanya, kesepakatan dengan LSE ini amat penting disebabkan kemudahannya yang intensif serta mempunyai banyak bidang kemahiran.
“Kami berharap dapat menjamin peluang pekerjaan untuk pelatih dan kemuncaknya menjadikan GiatMARA sebagai pusat kecemerlangan Labuan”
“Kerjasama itu nanti, bukan sahaja dapat mengangkat martabat Giat MARA tetapi turut mencipta peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan khususnya anak muda,” jelasnya.
Mohd Rafi yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan berkata, Giat MARA Labuan sudahpun mengadakan perbincangan dengan pengurusan LSE dan rundingan lanjut sedang dirancang bersama beberapa syarikat O&G terkemuka lain.
Tambahnya, program tersebut dibiayai menerusi peruntukan RM300,000 daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dijadual dilaksanakan selewat lewatnya pada tahun ini dengan membabitkan seramai 50 pelatih baharu.
“Inisiatif ini bertujuan menempatkan Giat MARA Labuan sebagai pusat kecemerlangan bagi sektor O&G Labuan yang sedang berkembang pesat,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Kepimpinan UMNO lima peringkat di sini, kelmarin.
Menurut beliau, matlamat Giat MARA Labuan adalah untuk menghasilkan sekurang-kurangnya 20-50 graduan GiatMara yang berkemahiran tinggi bagi memenuhi permintaan sektor ini. – Sabah News Today