KOTA KINABALU : Sabah antara negeri tertinggi berhadapan masalah murid gagal menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).
Masalah itu membabitkan murid Tahun Satu dan Tahun Dua.
Focal Person Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Mohammad Arif Sakaran berkata, berdasarkan data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dua tahun lalu, sebanyak 180 sekolah melibatkan hampir 12,000 murid mengalami masalah tidak menguasai 3M atau literasi dan numerasi di negeri ini.
“Pihaknya bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mengadakan pelbagai program bagi menangani masalah itu supaya tidak berlarutan,” tambahnya.
Arif berkata itu adalah data yang kita terima dua tahun lalu dan saya risau ketika pandemik Covid-19 ia menjadi lebih tinggi disebabkan kekangan yang dihadapi semasa pandemik.
“Sebab itu kita perlukan sokongan daripada semua pihak. Sebagai orang Sabah, kita tidak mahu negeri kita ketinggalan kerana kanak-kanak ini yang akan memimpin kita di masa depan,” tambahnya.
Menurut Arif, pihaknya telah mengenal pasti beberapa faktor menyebabkan masalah literasi dan numerasi di Sabah.
“Antaranya, Sabah negeri yang mempunyai keluasan yang besar berbanding di Kuala Lumpur, Selangor serta negeri lain,” tambahnya.
“Daerah kita saja kalau mengikut PPD ada 24 daerah, jadi sebab itu di Sabah ini tinggi dan kebanyakannya hampir majoriti sekolah yang ada di Sabah ialah sekolah luar bandar,” tambahnya lagi. – SH