SANDAKAN: Warga Sekolah Rendah Islam Ar Raudhah (SERIAR) melakar sejarah apabila berjaya menerbitkan buku bertajuk ‘Kompilasi Kajian Tindakan: Untukmu Guru’ yang dilancarkan secara rasmi baru-baru ini.
Pengerusi SERIAR, Ahdin Singky berkata, penerbitan buku tersebut telah mendapat kelulusan dan perakuan sebagai Penerbitan Dalam Perkhidmatan (PDP) daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.
Selain itu, katanya buku itu turut didaftarkan dengan ISBN (Nombor Piawai Buku Antarabangsa) sekali gus memberikan pengiktirafan rasmi bertaraf antarabangsa.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih saya tujukan kepada Dr Hajah Kasmah Abdullah, Dr Ghazali @ Hassan Sulaiman dari Pensyarah IAB Cawangan Sabah serta Sitti Saleha Samsuddin dari Kolej Tingkatan Enam Datuk Pengiran Galpam Sandakan atas bimbingan, dorongan dan sokongan mereka dalam menjayakan penerbitan ini,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh warga pendidik SERIAR Sandakan yang bertungkus-lumus menyiapkan kompilasi kajian tindakan berkenaan dengan penuh dedikasi.
“Semoga usaha murni ini menjadi rujukan bermanfaat, memperkayakan khazanah ilmu serta mengangkat martabat pendidikan di Malaysia,” katanya. — DEMI SABAH


