Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) telah berlangsung pada 28 November 2020 bertempat di PICC yang dihadiri oleh semua perwakilan parti daripada seluruh negara.
Selari dengan itu, persidangan atas talian serentak dilaksanakan di setiap negeri yang dipengerusikan oleh Ketua Perhubungan BERSATU negeri masing-masing. Pastinya persidangan kali ini berjalan dengan aplikasi pelaksanaan SOP sesuai dengan saranan KKM dalam norma baharu waktu ini.
Dalam ucapan yang disiarkan secara maya, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) merangkap Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyuarakan harapan besar rakyat negara ini yang ingin melihat penyatuan sebuah parti yang mewakili melayu dan islam.

Perikatan Nasional adalah platform terbaik bagi penyatuan ini. Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menyuarakan pandangan agar UMNO, PAS dan BERSATU menjadi satu komponen bagi mewakili bangsa Melayu dan Islam sebagai parti terbesar dalam PRU15 akan datang.
Justeru itu, penyatuan ini diharapkan dapat membawa kepada kestabilan politik di Negara tercinta dan seterusnya kemenangan besar mampu diterjemahkan sekiranya harapan rakyat dapat ditunaikan.
Dalam persidangan yang sama, Ketua Perhubungan BERSATU negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor pula menyuarakan dengan tegas namun penuh santun agar hak dan kepentingan negeri Sabah dapat dikaji semula untuk penambahbaikan dan pelaksanaan pada masa akan datang.

Menurut Datuk Seri Panglima Hj. Hajiji kajian semula sangat perlu bagi memperlihatkan keseriusan dan komitmen kerajaan negeri dalam memperjuangkan hak rakyat negeri ini yang termaktub di dalam Perkara 20 dalam MA63.
Ketua Srikandi Malaysia (KSM), Datuk Seri Rina Harun pula dalam ucapan dasarnya menyuarakan mengenai kepentingan Srikandi dalam membantu memperkasa parti ini disamping peranan calon wanita yang sudah mula rasional untuk mewakili parti dalam satu-satu pilihan raya.
Sudah tiba masanya untuk lebih ramai lagi calon wanita diketengahkan dalam pilihan raya akan datang, selain mempunyai kemampuan seperti calon lelaki dalam mewakili suara rakyat, calon wanita juga cukup bijak dan cepat bertindak dalam menanggapi isu semasa dan keperluan rakyat kawasan mereka.

Senada dengan Ketua Srikandi, Datuk Mas Emiyarti yang juga merupakan Naib Ketua Srikandi berharap agar Srikandi parti ini dapat lebih diperkasakan untuk masa hadapan. Pengukuhan kepada peranan dan fungsi Srikandi parti pastinya dapat membantu parti didalam menggerakkan segala program dirancang dan dalam menghadapi pilihan raya pada masa akan datang.
Bagi wakil Ketua Srikandi negeri Sabah Dato Redonah Bahanda dalam ucapan beliau menggesa agar semua wakil Srikandi di negeri ini untuk terus mempergiatkan lagi gerak kerja mereka yang seterusnya akan dapat memperbaiki dan memperkasakan segala kelemahan dan kekangan yang dihadapi SRI10 semasa menghadapi PRN Sabah baru-baru ini.

Mizma Appehdullah, Ketua Srikandi Lahad Datu merangkap Exco Srikandi Malaysia


