spot_img
HomeSemasaBekalan vaksin kurang, jejas program vaksinasi di Kota Marudu

Bekalan vaksin kurang, jejas program vaksinasi di Kota Marudu

 

Kota Marudu: Ahli Parlimen Kota Marudu Datuk Seri Dr Maximus Ongkili meyuarakan kebimbangan bekalan vaksin untuk penduduk di kawasan Kota Marudu tidak mencukupi.

“Bekalan vaksin yang tidak mencukupi menyebabkan temu janji segelintir penduduk kampung terpaksa ditunda pada saat akhir.

“Perkara ini tidak seharusnya terjadi terutamanya bagi masyarakat yang tinggal di kawasan pendalaman. Kita khuatir mereka akan hilang keyakinan dan tidak mahu menerima vaksin pada temu janji akan datang,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas majlis Pelepasan (Flag Off) Program Outreach Vaksinasi COVID-19 Siri Kedua ke kawasan perbukitan Magandai di sini semalam.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) menggesa agar masalah kekurangan vaksin di Sabah dapat diatasi dengan segera.

Menurutnya, masalah ini bukan berlaku di kawasan Kota Marudu sahaja namun di daerah lain turut mengalami masalah yang sama termasuk di negeri Sarawak.

“Saya turut memaklumkan perkara ini kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba agar masalah ini dapat diselesaikan dalam kadar yang segera

“Justeru, saya menyeru kepada pihak yang berkaitan agar memastikan bekalan vaksin di Sabah dan Sarawak mencukupi dan konsisten,” jelasnya.

Dalam pada itu katanya, kerajaan melakukan yang terbaik dan komited dalam usaha pemberian vaksin kepada seluruh rakyat Malaysia menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Beliau berkata, melalui usaha seperti Program Outreach Vaksinasi COVID-19, kita yakin dapat mempercepatkan lagi pemberian vaksin kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk di kawasan pendalaman yang mana terdapat masyarakat yang tidak dapat ke kawasan bandar untuk menerima suntikan vaksin mereka.

“Buktinya, Malaysia berjaya mencapai kadar vaksinasi COVID-19 melebihi 300,000 dos sehari. Namun, saya percaya Sabah dan Sarawak juga mampu mencapai angka harian seperti ini sekiranya tidak ada masalah lain seperti kekurangan bekalan vaksin,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, daerah Kota Marudu mempunyai populasi lebih 50,000 penduduk namun hanya 27,598 orang iaitu 55 peratus mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin.

“Di daerah Kota Marudu sahaja sejumlah 7,899 individu sudah menerima suntikan dos pertama dan 5,408 individu lengkap dos kedua, manakala di daerah Matunggong, seramai 1,060 individu menerima dos pertama dan 1,052 menerima dos kedua vaksin.

“Saya menghargai kerjasama dan komitmen seluruh warga di kawasan Parlimen Kota Marudu yang mendapatkan suntikan vaksin ini,” katanya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek Hendrus Anding dan Pegawai Daerah Kota Marudu Alexander Yong.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular