KOTA KINABALU: Ketua Bahagian UMNO Putatan, Jeffery Nor Mohamed memberi cadangan kepada Kerajaan Negeri Sabah, dahulukan pembaikan jalan raya, elektrik dan menangani masalah air Sabah daripada tubuhkan syarikat penerbangan sendiri.
“Saya anggap cadangan ini adalah baik tapi masanya belum sesuai,” katanya.
Jeffery menyoal, adakah memiliki syarikat penerbangan sendiri perlu diutamakan berbanding pembaikan dan pemulihan infrastruktur Sabah?
“Isu eletrik dan air yang tidak mencukupi dan jalan raya yang masih uzur harus diutamakan dan bukannya satu syarikat penerbangan yang baharu,” tegasnya.
Pengarah Pilihanraya UMNO Sabah itu menyatakan, kerajaan Sarawak kini dalam proses mengambil alih operasi Maswing, dan bukannya menubuhkan syarikat baru.
Syarikat baru ini akan memiliki aset dari Maswing, termasuklah kebenaran untuk berlepas dan mendarat di lapangan terbang yang kini menerima Maswing.
“Sekiranya Sabah ingin buat syarikat baru, ianya harus bermula dari awal. Apakah pelan dan business modal untuk syarikat baru ini? Adakah syarikat ini mempunyai long term plan untuk sustain business mereka?
“Bagaimana ianya akan memberi manfaat kepada rakyat Sabah, khususnya kerana laluan yang diberi keutamaan syarikat ini adalah laluan KK-KL dimana seperti kita semua sedia maklum, sudah “over-saturated” dengan adanya Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air Malaysia dan juga MyAirlines”
“Kita tidak perlukan lagi satu syarikat “white elephant” yang harapkan subsidi kerajaan untuk terus beroperasi,” jelasnya.
Jeffery Nor berkata kerajaan sekarang sudah hilang matlamat dan hilang fokus mereka.
“Isu yang harus diutamakan diketepikan, manakala isu yang tidak relevan, difokuskan”
“Saya harap kerajaan negeri sekarang perlu tumpu selesaikan masalah infra ini secara tuntas baru kita fikir utk cadangan-caangan lain,” katanya.