spot_img
HomeEkonomiSabah memiliki syarikat penerbangan sendiri menjelang 2024 | Demi Sabah

Sabah memiliki syarikat penerbangan sendiri menjelang 2024 | Demi Sabah

KOTA KINABALU: Pengerusi Sabah Air Aviation Sdn Bhd (SAASB), Kenny Chua berkata syarikat penerbangan milik Sabah dijangka ditubuhkan dan beroperasi menjelang tahun 2024.

Berita ini, disambut baik oleh rakyat Sabah, terutamanya perantau anak Sabah yang bekerja dan belajar di Semenanjung Malaysia.

Laporan freemalaysiatoday, Kenny berharap dapat menandatangani perjanjian sewaan sekurang-kurangnya tiga pesawat menjelang akhir tahun ini, tanpa terhad kepada Airbus atau Boeing.

“Rundingan sedang berlangsung secara berperingkat. Siapa tahu, kita mungkin melancarkan lebih awal daripada Sarawak,” katanya, merujuk kepada pemerolehan MasWings oleh Sarawak.

Dijangkakan, beroperasinya syarikat penerbangan milik Sabah merancakkan lagi pembangunan ekonomi dalam negeri dan dapat memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak Sabah khasnya.

“Sebelum ini, Sabah terlalu bergantung pada pembiayaan persekutuan tetapi kini ia berada pada landasan sama dengan Sarawak, dengan pelaburan asing mengalir ke negeri itu.

“Kita memerlukan syarikat penerbangan dan hab terminal kargo sendiri. Kita mempunyai lesen, jurutera penerbangan, juruterbang dan lapangan terbang kita sendiri. Tidak ada apa pun yang boleh menghalang kita lagi,” katanya.

Kenny Chua mencadangkan tiga nama berpotensi untuk syarikat penerbangan itu iaitu Sabah Airlines, Air Borneo atau Borneo Airlines.

Namun keputusan ini akan ditentukan oleh lembaga SAASB dan Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor.

Kenny Chua, Pengerusi Sabah Air Aviation Sdn Bhd (SAASB).

Chua juga berkata, syarikat penerbangan baharu itu akan mengikuti model perniagaan kos rendah yang boleh bersaing dengan pengendali sedia ada. Laluan yang sangat menguntungkan Kuala Lumpur-Kota Kinabalu kini dikendalikan Malaysia Airlines, Firefly, AirAsia, dan MyAir.

“Orang Sabah, terutama pelajar dan kakitangan awam, akan mendapat diskaun harga tiket untuk penerbangan Kuala Lumpur-Kota Kinabalu,” katanya.

Chua berkata, SAASB sedang dalam proses mengambil alih Terminal 2 AirAsia di Tanjung Aru untuk diubah suai menjadi terminal kargo.

“Tetapi terdapat isu-isu tanah yang perlu diselesaikan sebelum semua kargo boleh dipusatkan di sana. Mungkin mengambil tiga bulan sebelum pembinaan boleh dimulakan.” – freemalaysiatoday

 

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular