KOTA KINABALU : Mufti Sabah, Datuk Bungsu@Aziz Jaafar menyifatkan cadangan untuk menaikkan lagi had umur perkahwinan kepada 21 tahun bagi orang Islam di negara ini terutamanya negeri ini sebagai tidak munasabah.
Menurut Bungsu, had umur kematangan lelaki dan perempuan pada zaman sekarang adalah lebih awal ekoran pendedahan kepada dunia luar dan pengaruh media sosial.
“Malah, secara logik had umur mengundi juga sudah diturunkan kepada 18 tahun dan kelayakan bertanding sebagai wakil rakyat juga pada usia 18 tahun,” tambahnya.
“Mengapa pula berkaitan umur berkahwin, perlu dinaikkan. Tidak munasabah dan berlaku kontra di situ,” tambahnya lagi.
Bungsu berkata anak-anak muda kini cepat matang dan mereka sudah tahu tentang hal ehwal rumah tangga lebih awal, namun tidak pasti sama ada ia dalam konteks negatif ataupun positif.
“Justeru, ada keperluan untuk mereka dibenarkan kahwin awal sekiranya berkemampuan untuk menanggung pasangan,” tambahnya.
“Dari sudut syarak, apabila umur sudah baligh maka mereka sudah boleh bernikah kerana dianggap matang,” tambahnya lagi.
Kesempatan itu, Bungsu menyatakan had umur perkahwinan di Sabah pada masa ini adalah 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan muslim dan ia harus dikekalkan.
“Manakala Mahkamah Syariah juga mempunyai bidang kuasa membenarkan perkahwinan bawah umur daripada 16 dan 18 tahun,” tambahnya.
Bungsu juga berkata, setakat ini tiada penetapan had umur perkahwinan di Sabah kerana semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mencadangkan penyeragaman had umur berkahwin. Namun cadangan itu masih tergantung dan kerajaan negeri masih belum menerima sepenuhnya cadangan berkenaan. – Utusan