spot_img
HomeSemasaRamadhan berbeza tanpa isteri di sisi

Ramadhan berbeza tanpa isteri di sisi

KUALA LUMPUR: Pemergian isteri tercinta iaitu Allahyarham Siti Sarah Raissuddin pada tanggal 9 Ogos tahun lalu akibat COVID-19, tiga hari selepas berjuang melahirkan anak bongsu mereka, Ayyash Affan membuatkan kehidupan Shuib tidak lagi seindah dahulu.

Ramadan kali ini tanpa isteri dirasakan tidak seindah tahun-tahun sebelumnya bagi Shuib. Kegembiraan dan keterujaan orang lain menantikan kehadiran Ramadan sangat berbeza bagi Shuib. Kehadiran bulan mulia itu dilalui dengan penuh kesayuan apabila buat kali pertama menyambutnya tanpa isteri di sisi.
Keterujaan dan keseronokan melakukan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan bagaikan lenyap sejak ketiadaan isteri di sisi.

Namun, Shuib atau nama sebenarnya, Shamira Muhammad harus tetap kuat demi empat cahaya mata yang masih memerlukan belaian dan kasih sayang.

“Saya anggap Ramadan kali ini paling mencabar. Ini kerana kali pertama saya menyambutnya bersendirian tanpa arwah Sarah di sisi. Anak-anak tiada masalah, mereka sangat teruja menyambut puasa. Dua tiga minggu sebelum tibanya bulan Ramadan, mereka sudah menunjukkan keterujaan. Jujurnya, tak susah menguruskan anak-anak, mereka tiada masalah bangun sahur dan berpuasa. Mereka tidak merengek mahupun menangis. Alhamdulillah, mereka cukup bersemangat pada bulan puasa, malah melakukan pelbagai aktiviti bagi mengelak kebosanan untuk menunggu waktu berbuka puasa,” katanya.

Namun, dalam keceriaan yang dilakar bersama anak-anak pada bulan ramadhan, tersimpan rindu buat arwah isterinya dan perkara paling dirindui bersama arwah adalah kemeriahan berbuka puasa di kediamannya setiap tahun. Sudah menjadi kelaziman arwah mengundang sanak saudara dan sahabat berbuka puasa di rumah, malah kediaman meriah dengan kehadiran tetamu umpama majlis kenduri kendara, hampir setiap malam.

Shuib sekeluarga telah dipelawa TV3 untuk menjayakan program Diari Daddy. Demi anak-anak, Shuib menerima pelawaan itu sekaligus dapat mencipta memori bersama anak-anak disamping ingin anak-anak tahu kepayahan bekerja dan mencari duit demi menyara keluarga.

“Saya menerima tawaran menjayakan program Diary Daddy kerana dapat mengeratkan hubungan dengan anak-anak, memandangkan mereka turut terbabit dalam program ini. Saya mahu anak-anak tahu bukan mudah kerja penggambaran. Jadi, mereka tahu betapa bersusah payah saya bekerja selama ini demi menyara keluarga. Alhamdulillah, anak-anak seronok sepanjang penggambaran. Saya tak sangka mereka berbakat dan memberikan kerjasama yang sangat baik. Program Diary Daddy bakal menjadi salah satu memori ramadhab yang indah buat kami,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular