KOTA KINABALU: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah bersetuju menaikkan kadar tambang khas bas ekspres sebanyak 14.3 sen bagi setiap kilometer.
Pengerusi LPKP Sabah, Chin Kim Hiung berkata, sebelum ini kadar dikenakan bagi setiap kilometer ialah 13 sen.
“Ini selaras dengan keputusan Jemaah Menteri yang meluluskan kenaikan 10 peratus daripada kadar tambang asal bas ekspres,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, LPKP Sabah turut mengambil maklum bas tambahan bagi memenuhi permintaan pengguna sempena Aidilfitri yang dijangka meningkat, berikutan kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 oleh kerajaan.
“LPKP Sabah juga bersetuju membuka permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) kepada mana-mana syarikat pengusaha bas ekspres menjelang Aidilfitri,” tambahnya lagi.
Permohonan akan dibuka mulai 11 April hingga 22 April 2022 dan borang boleh didapati di ibu pejabat LPKP Sabah, Kota Kinabalu, serta cawangannya di Tawau dan Sandakan.
Dalam pada itu, kesahan LPS diluluskan bermula 29 April 2022 hingga 8 Mei 2022.