spot_img
HomePolitikSabah mampu berdiri sendiri bangunkan negeri - Hajiji

Sabah mampu berdiri sendiri bangunkan negeri – Hajiji

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan kerajaan negeri mempunyai kemampuan untuk berdiri sendiri dalam membangunkan negeri melalui dasar jelas dan perancangan mampan.

Berucap pada Sambutan Hari Sabah 2025 di Padang Merdeka semalam, beliau berkata kejayaan negeri ini memulihkan ekonomi, meningkatkan pelaburan, membina infrastruktur serta menjaga kebajikan rakyat adalah bukti keupayaan Sabah mengorak langkah tanpa terlalu bergantung kepada pihak luar.

“Sejak September 2020, melalui dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kita telah membuktikan bahawa Sabah mampu berdiri sendiri, memulihkan ekonomi pasca-krisis, meningkatkan pelaburan, membina infrastruktur, melahirkan generasi belia berkemahiran, serta menjaga kebajikan rakyat,” katanya.

Sambutan tersebut dihadiri Tuan Yang Terutama, Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.

Hajiji berkata, kerajaan negeri turut memberi tumpuan besar kepada sektor pendidikan dan pembangunan belia dengan lebih RM1.3 bilion telah dibelanjakan demi menjamin masa depan generasi pewaris negeri.

Beliau berkata, sambutan Hari Sabah bukan sekadar mengenang sejarah, tetapi manifestasi kejayaan dan semangat rakyat yang terus membina negeri berasaskan usaha sendiri.

Menerusi tema sambutan tahun ini, ‘Untukmu Sabah, Tanah Airku,’ Hajiji menyeru rakyat untuk mempertahankan keharmonian dan bersama-sama membina Sabah yang inklusif, maju dan sejahtera.

“Kita juga memperingati tokoh-tokoh perjuangan seperti Tun Datu Mustapha, Tun Fuad Stephens dan Datuk G. S. Sundang yang telah mengasaskan asas penting bagi negeri ini,” tambahnya. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular